JAKARTA, 21 Sept: Selepas menjadi tebusan selama satu setengah tahun sejak 7 Febuari 2023, juruterbang Susi Air dari New Zealand, Philip Merthens dibebaskan.
Merthens yang ditangkap kumpulan pengganas dikenali Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TNPB) diselamatkan oleh gabungan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Indonesia yang melakukan pelbagai usaha untuk membebaskan juruterbang tersebut.
Jurucakap Operasi Keamanan Damai Cartenz 2024, Bayu Suseno berkata, juruterbang tersebut dibebaskan dan diselamatkan oleh pasukan petugas di Kampung Yuguru, Nduga.
“Ya, hari ini kami menjemput juruterbang Philip selepas pelbagai usaha dilakukan selama ini,” katanya.
Menurutnya, pembebasan juruterbang tersebut penting bagi mengelak kehilangan nyawa selain untuk menjaga keselamatan.
Setakat ini, Merthens dibawa ke Timika untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selain memastikan keadaan psikologinya stabil.
Untuk rekod, pada 7 Februari 2023, Merthens ditangkap ketika mendarat di wilayah Nduga yang kemudiannya diserbu pasukan TNPB dan pesawatnya dibakar.
Usaha pembebasan juruterbang tersebut oleh Kerajaan Indonesia dijalankan dengan operasi ketenteraan yang menyaksikan empat anggota TNI terkorban dalam satu serbuan.
TNPB menuntut berpisah dari Indonesia dan menggesa kerajaan mengiktiraf kemerdekaan Papua sekiranya mahu juruterbang tersebut dibebaskan.-TVS