YANGON, 21 Sept: Jabatan Pertanian Myanmar di bawah Kementerian Pertanian, Ternakan dan Pengairan menggesa petani untuk menanam tanaman komoditi di ladang yang terjejas akibat banjir dan akan menyediakan bantuan bagi menanam semula tanaman, lapor Xinhua, memetik akhbar Global New Light of Myanmar pada Sabtu.
Taufan Yagi yang membawa angin kencang dan hujan lebat memusnahkan tanah pertanian di seluruh Myanmar.
Sekiranya petani menghadapi kesukaran untuk menanam semula padi, mereka digesa menanam tanaman komoditi bagi mengurangkan kerugian dan menjana pendapatan untuk musim penanaman seterusnya, menurut laporan itu.
Pasukan yang diketuai oleh Ye Tint Tun, ketua pengarah Jabatan Pertanian Myanmar melawat ladang-ladang di Wilayah Nay Pyi Taw untuk menyokong pemulihan ladang selepas banjir.
Mereka mengadakan perbincangan mengenai pengurusan pinjaman tanaman, menganalisis tanaman berdaya tahan iklim dan menangani keperluan petani, menurut laporan itu.
Selain itu, jabatan itu turut bekerjasama dengan organisasi berkaitan untuk menawarkan bantuan teknikal dan memenuhi keperluan pertanian.- TVS