KUCHING, 21 Sept: Guru yang bertugas di Sarawak dipelawa menyertai Kesatuan Guru Sarawak (STU), kata presidennya Kullin Djayang.
Beliau berkata, penyertaan dalam kesatuan akan membolehkan ahli mendapat pelbagai manfaat.
Menurutnya, STU menjaga kebajikan ahli melalui skim insurans sangat menarik dengan bayaran lebih murah, khairat kematian untuk ahli dan keluarga terdekat, insentif persaraan, insetif kepada ahli yang merekrut ahli baharu dan insetif kepada anak ahli yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam.
“Kita juga mempunyai rakan dagangan yang begitu banyak di seluruh Sarawak yang mana semua ahli boleh mendapatkan harga istimewa di kedai terpilih,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, STU merupakan kesatuan guru yang bergabung dengan pelbagai kesatuan besar di dalam dan luar negara.
“Antaranya CUEPACS, MTUC, Education International dan ASEAN Council of Teachers (ACT+1). Kami merupakan kesatuan yang sentiasa bersedia bekerjasama dengan kerajaan,” ujarnya.
Menurutnya, STU bakal menyambut ulang tahun penubuhan ke-60 tahun depan.
“Sudah pasti kita mempunyai banyak perancangan pada masa akan datang. Kita menjemput semua ahli untuk mengikuti program yang dirancang,” jelasnya.-TVS