SIBU, 21 Sept: Seramai 20,000 pengunjung hadir memeriahkan Pesta Air Sibujaya 2024 yang merupakan satu-satunya pesta air di Sarawak seumpama ‘Songkran Water Festival’ di Thailand yang amat menarik sekali dan dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pesta tersebut bukan sahaja dihadiri oleh penduduk setempat, malah turut dikunjungi pengunjung dari luar Sibu.
“Saya difahamkan ada yang datang daripada Bintulu dan sebagainya untuk bersama-sama dalam pesta ini. Ia sedikit sebanyak memberi manfaat yang begitu besar sekali kerana mereka yang hadir terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
“Ini bermakna masa cuti sekolah dan hujung minggu seperti ini dapat diluangkan untuk keluarga mengeratkan hubungan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Pesta Air Sibujaya 2024 pada Sabtu.
Tambahnya, ibu bapa dapat membawa anak-anak mereka menikmati keceriaan bersama dengan adanya pesta sedemikian yang dapat mengeratkan institusi kekeluargaan.
“Pada masa yang sama para usahawan dan peniaga tempatan juga akan mendapat manfaat,” ujarnya.
Karim turut memberitahu ia adalah kali ketiga beliau hadir ke Pesta Air Sibujaya dan menyatakan penganjuran pada kali ini adalah yang terbaik menurutnya.
“Tahniah kepada penganjur iaitu Amcorp dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) yang telah menganjurkan pesta ini lebih tersusun daripada tahun-tahun sebelumnya.
“Kementerian saya juga akan sentiasa menyokong agar program ini terus dianjurkan menjadi program tahunan di Sibujaya,” tegasnya.-TVS