KUCHING, 20 Sept: Polis menahan tiga lelaki warga asing dipercayai terlibat dalam kes pecah kereta dan mencuri wang tunai berjumlah RM30,000 di kawasan parkir sebuah pasar raya di Batu 6 Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching Mohd Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, kes tersebut dilaporkan pada 3 September, jam 12.30 tengah hari selepas mangsa mendapati mendapati wang tunai yang disimpan di dalam kereta hilang selepas cermin kereta dipecahkan.
“Bertindak atas maklumat, pada jam 8.30 malam hari yang sama, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menangkap tiga suspek lelaki berusia antara 40 hingga 52 tahun di sebuah hotel bajet di Green Hill Kuching.
“Beberapa barang turut dirampas melibatkan wang tunai berjumlah RM4,500, 21 keping mata wang asing Brunei, tiga pasport milik warga asing, sebuah motosikal, sebuah kereta, tujuh telefon pelbagai model serta dua topi keledar,” katanya.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan mengekori mangsa dari bank hingga ke kawasan parkir kereta.
“Setelah mangsa meninggalkan kereta, suspek akan memecahkan cermin dan mencuri wang tunai di dalamnya.
“Ketiga-tiga suspek kini direman di lokap IPD Kuching untuk membantu siasatan kes ini serta beberapa kes lain yang serupa.
“Setakat ini, polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah cermin kereta dan curi yang melibatkan kerugian sebanyak RM88,600,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, pihak berkuasa turut menasihati orang ramai agar tidak meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan tanpa pengawasan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung jenayah tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Salji Ab Hamid di talian 013-2575814 atau IPD Kuching di talian 082-244444, atau melaporkannya di balai polis berdekatan. – TVS