KUCHING, 20 Sept: Sebuah pusat asuhan kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di Kuching sedang disiasat polis.
Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) bersedia bekerjasama dengan polis berhubung siasatan terkini terhadap aktiviti GISBH.
Menurutnya, pusat asuhan tersebut didaftarkan pada tahun 2014 dengan permit operasi sah selama lima tahun.
Tambahnya, selepas permit tamat tempoh, pusat tersebut gagal menyempurnakan proses pembaharuan.
“Mereka mengambil borang pembaharuan tetapi tidak memulangkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Perkampungan Sukan Para SUKMA di sini, hari ini.
Semakan lanjut rekod JKMS mendapati pusat tersebut berpindah ke beberapa lokasi lain.
Sementara itu, Fatimah menjelaskan, kes tersebut kini di bawah siasatan polis.-TVS