KUCHING, 20 Sept: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menganjurkan Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCAT Fair) 2024.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, sebanyak 30 industri dan syarikat termasuk Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) turut sama menawarkan peluang pekerjaan.
Menurutnya, pameran dua hari itu dijangka menarik lebih 12,000 pengunjung dan 50,000 penonton dalam talian dari setiap zon.
“Lebih 50 pempamer termasuk syarikat, agensi awam dan swasta, institusi pendidikan, penyedia bantuan kewangan dan sekolah mengambil bahagian.
“Rakan strategik kami, PERKESO akan menjalankan temu bual melibatkan 30 industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media SCAT Fair 2024 di sini, pada Jumaat.
SCAT Fair tahun ini dilangsungkan di dua kawasan iaitu Kuching dari 5 hingga 6 Oktober dan Sibu (2 hingga 3 November).
Tahun lepas, pameran tersebut diadakan di Kuching dan Miri dengan 20,458 pengunjung.
Seramai 12,208 pengunjung mengunjungi pameran di Kuching dan 8,250 pengunjung di Miri.-TVS