KANOWIT, 20 Sept: Tebingan Kanowit dengan reka bentuk tersendiri iaitu bertingkat dijangka menarik lebih ramai pengunjung dan menjadi tumpuan masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, ia memberi banyak manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut.
Malah menurutnya, penduduk setempat boleh menjadikan tebingan tersebut sebagai tempat beriadah dan menjalankan aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan mereka.
“Ia adalah tebingan sangat luar biasa, satu-satunya dengan reka bentuk bertingkat. Ini adalah kali pertama saya melawat tingkat atas dan ia memberikan pengalaman berbeza berbading tingkat bawah.
“Tebingan bernilai RM5.3 juta ini akan menjadi mercu tanda untuk Kanowit dan tempat untuk orang ramai berkumpul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pesta Kanowit 2024 dan Tebingan Kanowit pada Jumaat.
Dr Sim menjelaskan, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membangunkan banyak kawasan dermaga.
“Ia mencerminkan keterangkuman yang mana rakyat di kawasan bandar dan luar bandar mempunyai kemudahan sama walaupun reka bentuk berbeza,” ujarnya.
Pada masa sama beliau mencadangkan pembinaan kren berhampiran kawasan tebingan untuk membantu mengangkat bot janakuasa ke dalam sungai sekali gus menyokong aktiviti di kawasan tersebut.
“Mungkin ia boleh dimasukkan di bawah Projek Rakyat supaya dapat dilaksanakan lebih cepat,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Datuk Seri Aaron Ago Dagang menjelaskan, perpaduan dan keharmonian masyarakat dapat diperkukuhkan dengan menghargai kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini.
Tambahnya, Pesta Kanowit bukan sahaja meraikan sejarah dan tradisi tetapi mengiktiraf kepelbagaian budaya serta sumbangan yang membentuk identiti Malaysia.
“Bagi kita di Kementerian Perpaduan Negara, penganjuran Pesta Kanowit adalah selari dengan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ yang dilancarkan tahun lalu,” kata Aaron.
Menurut Aaron, pesta tersebut berupaya menyuntik semangat cinta kepada tanah air melalui penghayatan terhadap kepelbagaian khazanah yang diwarisi sejak turun-temurun.
Pesta Kanowit yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Kanowit merupakan program mempromosi pelancongan bagi menarik pelancong luar berkunjung ke kawasan luar bandar.
Pesta Kanowit 2024 berlangsung dari 20 hingga 22 September dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Kanowit RC Boat Challenge, pesta ria, pameran, Kanowit Power Boat Race, jualan rahmah, majlis tradisi dan ratu Pesta Kanowit.-TVS