Bergamo, Itali 20 September 2024: Ketangkasan penjaga gol Arsenal, David Raya memastikan The Gunners hanya terikat tanpa jaringan ketika bertemu Atalanta di Gewiss Stadium pagi tadi.
Skuad kendalian Mikel Arteta itu terpaksa berpuas hati meninggalkan Bergamo dengan satu mata selepas seri 0-0.
Pasukan Liga Perdana itu diramal tewas namun aksi Raya yang melakukan penyelamatan berganda yang menakjubkan berjaya menghalang Mateo Retegui daripada menjaringkan gol pertama dari sepakan penalti.
“Ia hanya satu penalti dan saya bernasib baik kerana pergi ke jalan yang betul dan menyelamatkannya.
“Saya tidak bernasib baik untuk memberikan lantunan terus kepadanya tetapi saya cukup pantas untuk bangun dan menyelamatkannya.
“Ia sangat hebat untuk dapat mengekalkan rekod bersih dan membantu pasukan untuk mendapatkan mata ,” kata Raya kepada TNT Sports.
Kehilangan Martin Odegaard akibat kecederaan buku lali yang serius yang dialami semasa tugasan antarabangsa bersama Norway dikatakan menjadi penyumbang kepada persembahan hambar serangan Arsenal.
Bagi pemenang Liga Europa, Atalanta, perlawanan pagi tadi itu disifatkan sebagai satu permulaan yang baik bagi perlawanan Liga Juara-Juara Eropah pertama mereka sejak disingkirkan di peringkat kumpulan pada 2021.
“Kami semua bersama Mateo, dia tidak boleh terlalu memikirkan tentang kesilapan penalti itu.
“Dia seorang pemain yang cemerlang dan lelaki yang hebat, kami sangat gembira dengan mata bagus yang diperolehi menentang pasukan yang hebat, “ kata penjaga gol Atalanta, Marco Carnesecchi kepada Sky di Itali. – TVS