MIRI, 20 Sept: Kejohanan Taekwondo Antara Kelab PTNS-MSNS 2024 menjadi platform terbaik kepada bakat muda untuk mengetengahkan bakat.
Penganjur kejohanan, Lim Yong Soon berkata, ia membuka ruang kepada bakat muda bersaing di arena lebih mencabar.
“Kejohanan ini diadakan untuk mencungkil bakat dan potensi baharu seterusnya memberi peluang kepada mereka berkembang ke peringkat lebih tinggi. Matlamat kami untuk melihat mereka mewakili Sarawak ke pentas tertinggi.
“Kami akan memulakan langkah melalui Sukan Sarawak (SUKSA) diikuti Sukan Malaysia (SUKMA) dan akhir ke kejohanan peringkat kebangsaan,” katanya kepada TVS hari ini.
Pertandingan anjuran Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak dan Taekwondo Malaysia itu berlangsung dari 20 hingga 22 September di Stadium Tertutup Miri dengan menampilkan dua kategori iaitu poomsae dan kyorugi.
Sebanyak 20 kelab dengan lebih 700 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.-TVS