Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon. Foto fail Bernama

Pesuruhjaya Tinggi kongsi pandangan mengenai hubungan Malaysia-NZ susulan lawatan PM Luxon

ByBernama

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki, berkongsi pandangan mengenai lawatan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon, ke Malaysia baru-baru ini, yang memberi tumpuan kepada perkongsian strategik yang diwujudkan pada 2023.

Mazita berkata lawatan tiga hari oleh Luxon menandakan peristiwa penting dalam hubungan diplomatik 67 tahun yang berkekalan antara kedua-dua negara, yang dicirikan oleh hubungan dua hala yang mesra dan usaha kerjasama merentasi pelbagai sektor termasuk perdagangan, pendidikan, keselamatan dan pembangunan mampan.

Beliau menekankan bahawa perkongsian strategik, yang merupakan topik utama perbincangan antara kedua-dua pemimpin semasa lawatan, berkisar pada empat tonggak utama: Kemakmuran, Rakyat, Planet serta Keamanan dan Keselamatan.

“Di bawah tonggak Kemakmuran, kedua-dua pemimpin komited untuk menghapuskan halangan perdagangan dan memaksimumkan faedah perjanjian perdagangan bebas sedia ada, dengan tumpuan khusus kepada sektor Halal dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

“Mereka menyasarkan untuk meningkatkan nilai perdagangan dua hala 50 peratus menjelang 2030,” katanya ketika ditemu bual dalam program Bernama TV ‘BERNAMA World’, bertajuk “Mengukuhkan Hubungan Malaysia-New Zealand: Penilaian Selepas Lawatan dan Memajukan Diplomasi Kebudayaan.”

Mazita juga menyatakan bahawa misi perdagangan Luxon, yang termasuk 20 delegasi peringkat tinggi membabitkan sektor seperti pelancongan dan pertanian, mengenal pasti banyak peluang untuk meningkatkan kerjasama.

Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) perniagaan-ke-perniagaan (B2B) telah ditandatangani semasa lawatan itu, menyediakan pentas untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan.

Menyentuh mengenai tonggak Rakyat, Mazita melihat komitmen untuk meningkatkan kerjasama pendidikan dan menggalakkan mobiliti pelajar dua hala, kerana kedua-dua pemimpin mengesahkan komitmen mereka untuk meningkatkan kerjasama pendidikan dan mengalu-alukan pelajar New Zealand ke Malaysia.

“Pendidikan sentiasa menjadi asas kepada perkongsian kami dan kami komited untuk mengukuhkan lagi hubungan pendidikan dan meningkatkan mobiliti dua hala, perkongsian institusi dan kerjasama dalam pertukaran akademik dan belia.

“Jadi ini penting untuk membina persefahaman dan persahabatan budaya bersama. Kami mempunyai 642 pelajar Malaysia di sini dan hanya 14 pelajar New Zealand di Malaysia. Dan kita perlu memastikan ia seimbang,” tegasnya.

Dalam bidang pertanian, di bawah tonggak Planet, pesuruhjaya tinggi itu berkata kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memuktamadkan perjanjian eksport nanas segar Malaysia menjelang Disember.

“Jadi kami berharap menjelang Disember ia boleh menjadi kenyataan. Perdana Menteri Luxon juga secara peribadi telah memberitahu saya: ‘Mazita, saya mahu nanas menjelang Disember, jadi mari kita cuba jayakannya,” kata beliau.

Mazita berkata tonggak Keamanan dan Keselamatan melibatkan perbincangan mengenai pengukuhan hubungan pertahanan, kerana Malaysia mengalu-alukan cadangan New Zealand untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dan keselamatan melalui latihan bersama di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

“Kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Gaza, mengukuhkan komitmen mereka terhadap keamanan dan keselamatan global,” katanya.

Mazita melahirkan keyakinan tentang masa depan hubungan Malaysia-New Zealand.

Beliau merujuk kepada penyertaan delegasi New Zealand baru-baru ini dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) dan pemeteraian MoU dalam sektor pertanian sebagai petunjuk kerjasama yang semakin meningkat.

Mazita menekankan kepentingan pelaburan mampan dan keperluan untuk memanfaatkan peluang yang boleh diakses yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka panjang.

Ketika Malaysia bersedia untuk memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-New Zealand, Mazita melahirkan keyakinan bahawa lawatan Luxon telah meletakkan asas untuk kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang seperti perdagangan, keselamatan, perubahan iklim dan hubungan rakyat dengan rakyat.

“Kami akan merangka agenda berpandangan ke hadapan untuk kerjasama yang lebih besar dalam bidang seperti perdagangan, keselamatan, perubahan iklim dan hubungan rakyat dengan rakyat serta bekerjasama rapat dengan New Zealand termasuk ahli dan rakan kongsi ASEAN kami untuk memastikan matlamat dan nilai bersama kami direalisasikan,” tambah beliau. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan