KUCHING, 20 Sept: Jumlah pengambilan guru di Sarawak menerusi sesi pengambilan khas tahun 2024 ditambah sebanyak 1,040 menjadikannya 2,180 jawatan berbanding 1,140 orang sebelum ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata penambahan itu dicapai menerusi mesyuarat bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) semalam.
“Tahun lepas kita sasarkan sebanyak 1,140 jadi semalam kita telah melakukan mesyuarat bersama SPP jadi mereka memutuskan bahawa Sarawak boleh merekrut sebanyak 2,180 orang guru baharu untuk pengambilan khas tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sarawak Career And Training Fair (SCAT Fair) 2024 di Hikmah Exchange Centre (HEEC) di sini, hari ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia bersama pihak SPP sebelum ini telah bersetuju untuk menangani isu kekurangan guru yang masih ada dengan menggunakan kumpulan tambahan di bawah pengambilan khas untuk Sarawak.
Melalui pengambilan ini calon yang berjaya akan menerima kontrak selama dua tahun dan mengambil Diploma Pendidikan pembiayaan sendiri di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) dan akan ditawarkan jawatan tetap mengajar, tertakluk kepada saringan akhir oleh SPP. – TVS