Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pelarasan gaji sebanyak sembilan peratus antara faedah baharu yang diperolehi pekerja perkeranian dan bukan perkeranian bank di Sarawak. Foto hiasan Envato

Pekerja bank Sarawak dapat pelarasan gaji sembilan peratus

KUCHING, 20 Sept: Pelarasan gaji sebanyak sembilan peratus antara faedah baharu yang diperolehi pekerja perkeranian dan bukan perkeranian bank di Sarawak.

Hal itu susulan pemeteraian Perjanjian Kolektif (CA) ke-17 di antara Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Sarawak (SBEU) dengan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Sarawak (SCBA) semalam.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC) Datuk Mohamed Safie BP Mammal berkata CA tersebut memberikan manfaat kepada kira-kira 1,100 pekerja dalam gred Jualan dan Perkhidmatan 1 (SS1), SS2 dan SS3 yang berkhidmat di 14 bank perdagangan di negeri itu.

“Selain pelarasan gaji, CA buat pertama kalinya, memperkenalkan bayaran bantuan perayaan tahunan sebanyak RM1,800 untuk membantu pekerja meraikan perayaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bank-bank juga telah bersetuju untuk memberikan bayaran ex gratia sekali dibayar sebanyak RM2,000 sebagai menghargai kerjasama dan sokongan kesatuan dalam melaksanakan inisiatif transformasi serta tanggungjawab pemerkasaan pekerjaan mereka.

CA itu turut melibatkan subsidi penjagaan kanak-kanak dan hilang upaya yang dinaikkan sehingga 33 peratus serta faedah perubatan, yang menyaksikan peningkatan 38 peratus daripada RM1,300 kepada RM1,800.

Sementara itu Presiden SCBA Maureen Paril berkata lebih banyak jawatan bagi kategori gaji tertinggi iaitu pekerja gred SS3 akan diwujudkan untuk mengiktiraf peningkatan dan pemerkasaan tugas mereka.

“Di bawah bidang ini, semua bank ahli telah komited untuk memastikan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada tenaga kerja perkeranian mereka mendapat gred SS3 sebelum 31 Dis 2025,” katanya.

Beliau berkata CA baharu itu merupakan pakatan menang menang yang bukan sahaja menyediakan faedah yang lebih baik dan ganjaran yang saksama untuk pekerja, tetapi juga memastikan industri perbankan terus berkembang dan menyokong pembangunan ekonomi di Sarawak.

“Kami menghargai peranan ahli SBEU dan mengiktiraf keinginan mereka untuk peluang pembangunan kerjaya yang berterusan,” tambahnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan