Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto hiasan Envato

Malek Noor cadang ujian doping dilakukan semasa sesi latihan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Bekas jaguh bina badan negara Datuk Abdul Malek Mohamed Noor mencadangkan supaya ujian doping ke atas atlet tidak hanya dilakukan pada hari pertandingan, sebaliknya turut dibuat semasa sesi latihan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Malek Noor berkata ujian semasa sesi latihan atlet mampu mencegah lebih awal terutamanya atlet bina badan daripada terlibat dengan masalah doping.

“Sekiranya anda mahu menangkap mereka (atlet guna bahan terlarang), buat ujian waktu mereka menjalani latihan atau di luar musim pertandingan.

“Sebab kebanyakan atlet guna (bahan terlarang) waktu di luar musim pertandingan,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Sebelum ini, Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahkan atlet bina badan yang menyertai Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan ke-53 @ Mr. Malaysia 2024 di Johor Bahru bulan lepas didapati positif ujian doping.

ADAMAS memaklumkan, keputusan analisis menunjukkan kehadiran bahan terlarang dalam sampel atlet termasuk metabolisme Stanozolol seperti Stanozolol‐1´N‐glucuronide dan 16beta-Hydroxystanozolol.

Dalam pada itu, Malek Noor melahirkan rasa kecewanya terhadap atlet yang terbabit dengan penggunaan bahan terlarang semasa kejohanan berkenaan.

Beliau berkata meskipun penggunaan bahan terlarang seperti steroid yang sering dikaitkan dengan sukan bina badan bagi membolehkan seseorang itu mencapai impian mendapatkan bentuk badan sasa dengan pantas, Malek Noor berkata risikonya cukup besar.

“Mereka ambil (bahan terlarang) sebab nak cepat besar (otot), tetapi mereka kadang-kadang tak tahu bahan itu sebenarnya beri kesan buruk kepada jantung, buah pinggang dan macam-macam lagi,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan