PUTRAJAYA, 20 Sept : Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersetuju dengan penubuhan Majlis Sejarawan Negara bagi mengatasi isu penyelewengan fakta sejarah yang berpotensi menjejaskan kestabilan dan keharmonian negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, majlis tersebut akan melibatkan pakar sejarah, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) manakala urus setia dipegang Arkib Negara Malaysia (ANM).
“Di peringkat antarabangsa, terdapat beberapa negara yang menubuhkan majlis seumpama ini, seperti Filipina dengan The National Historical Commission of the Philippines, Amerika Syarikat melalui National Council on Public History, serta Perancis melalui Commission Nationale de l’Histoire,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, tumpuan utama majlis tersebut adalah dalam aspek kajian, rujukan sumber, penulisan, penerbitan, pendidikan sejarah dan advokasi.
“Sejarah amat penting kerana ia memberi kita kefahaman tentang identiti dan budaya sesebuah masyarakat. Ia juga membolehkan kita belajar daripada kejayaan dan kesilapan masa lalu yang seterusnya membantu kita membuat keputusan lebih baik pada masa kini dan masa depan.
“Di samping itu, sejarah mengajar kita tentang nilai seperti toleransi dan perpaduan yang membantu kita menghargai kepelbagaian perspektif. Dengan memahami sejarah, kita dapat membina masyarakat lebih berpengetahuan dan berdaya tahan,” ujarnya.
Tambah Aaron, beliau yakin majlis tersebut akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara melalui kefahaman mendalam terhadap sejarah.
“Penubuhan majlis ini akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia menyediakan sebuah badan khusus yang memastikan fakta sejarah negara tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” tambah beliau.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan sejarawan duduk bersama di bawah satu bumbung melalui Jawatankuasa Sejarah Negara atau Majlis Sejarawan Negara susulan kebimbangan mengenai penyelewengan fakta sejarah negara.
Menurut Zahid, majlis tersebut perlu menjadi badan autoritatif tertinggi yang memastikan sejarah negara ditulis berdasarkan fakta sahih tanpa dipengaruhi perbezaan terutama perbezaan ideologi politik. – TVS