KUCHING, 20 Sept: Bandar raya Kuching dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Lahir ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebanyak tujuh acara utama diadakan dari 10 hingga 13 Oktober.
“Acara pertama pada 10 Oktober merupakan majlis kesyukuran di Masjid Jamek Kuching bermula jam 6 petang diikuti khutbah khas dan majlis kesyukuran agama-agama lain pada 11 Oktober.
“Pada 12 Oktober, acara kemuncak sambutan dilangsungkan iaitu Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka dan Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Astana Negeri pada sebelah pagi.
“Majlis Jamuan Negeri akan diadakan di Dewan Santapan Kompleks Dewan Undangan Negeri pada sebelah malam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk sambutan itu di sini hari ini.
Karim menjelaskan, majlis jamuan teh yang merupakan acara ketujuh dan terakhir berlangsung di Sarawak Chamber Riverside Majestic pada 13 Oktober.
Menurutnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dijangka hadir sebagai tetamu kehormat untuk semua acara.
“Sambutan ini menampailkan pelbagai persembahan merangkumi seperti kebudayaan dan nyanyian daripada artis popular tanah air,” ujarnya.
Tambahnya, sambutan tersebut akan disiarkan secara langsung di TVS saluran 122 Astro dan MyTV serta Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selain Youtube – UKAS Channel.-TVS