KUCHING, 20 Sept: Proses penyerahan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutan kepada Kerajaan Sarawak dijangka selesai menjelang hujung tahun ini apabila satu perkara yang kini masih dalam perbincangan dapat diselesaikan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang menyatakan perkara ini bagaimanapun tidak mendedahkan butiran yang sedang dalam proses perbincangan Kerajaan Sarawak dengan Kementerian Pengangkutan.
“Pihak Jawatankuasa (Bersama Persekutuan-Negeri) juga sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan analisis isu tersebut.
“Sebaik sahaja selesai perbincangan itu Pelabuhan Bintulu akan diserahkan sepenuhnya kepada Sarawak menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui semasa melakukan lawatan ke tapak projek bangunan Kompleks UNIFOR di Jalan Ong Tiang Swee, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Uggah berkata, pengambilalihan pelabuhan itu merupakan sebahagian daripada pelan strategik kerajaan Sarawak untuk membangun dan menyatukan semua pelabuhan negeri.
Sebelum ini, mesyuarat jawatankuasa tersebut telah memuktamadkan keputusan untuk menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak pada Jun 2024.
Namun, Pelabuhan Bintulu diisytiharkan sebagai Pelabuhan Persekutuan melalui Akta Pelabuhan Persekutuan (Akta 217) 1981.
Parlimen kemudiannya meluluskan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 bagi membentuk Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) yang ditugaskan membina, mengawal, mentadbir dan mengawal selia pelabuhan berkenaan.
Bagi merealisasikan sasaran Jun 2024 (pelabuhan diserahkan kepada Sarawak), jawatankuasa bersama itu telah bersetuju Rang Undang-Undang (RUU) bagi memansuhkan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 dibentangkan oleh Kementerian Pengangkutan di Parlimen.
Manakala, kerajaan Sarawak akan menubuhkan Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak bagi memastikan operasi pelabuhan itu tidak terjejas atau terganggu semasa pertukaran status. – TVS