KUCHING, 20 Sept: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Khamis menghadiri Mesyuarat Tanah Negara ke-81 yang diadakan di Perdana Putra, Putrajaya.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tersebut turut dihadiri oleh Ketua Menteri dan Menteri Besar dari kesemua negeri.
Menurut kenyataan dari pejabatnya, dalam mesyuarat tersebut, Awang Tengah menerangkan berkenaan Surat Cara yang telah mengadaptasi kaedah ’pendaftaran hari yang sama’.
“Sistem ini adalah penambahbaikan dari kaedah ‘pendaftaran satu hari’ pada tahun 2009 yang membolehkan urusan berkaitan tanah diselesaikan dengan cara ‘hantar hari selesai esok’ kepada kaedah ‘pendaftaran hari yang sama’, contohnya dokumen dihantar sebelum 11 pagi dapat diselesaikan sebelum 5 petang hari sama,” kata kenyataan itu, hari ini.
Sistem yang telah digunakan sejak 2019 telah diakreditasi dengan penarafan ISO 9001: 2015.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut adalah Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Awang Zamhari Awang Mahmood.