PULAU BRUIT, 19 Sept: Stesen Minyak ROVR (Sistem Kontena Mudah Alih) Petronas di Kampung Tekajong di sini memberi manfaat dan sumbangan besar kepada komuniti nelayan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata penyediaan kemudahan itu amat dihargai yang secara tidak langsung merangsang aktiviti ekonomi penduduk.
“Stesen minyak ini memudahkan warga nelayan mendapatkan bekalan petrol bersubsidi bagi kegunaan bot nelayan,” katanya pada Majlis Perasmian Stesen ROVR Petronas, hari ini.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut memohon agar Petronas menambah kapasiti simpanan minyak di stesen tersebut.
Stesen Minyak ROVR Petronas di Tekajong kendalian Petronas Dagangan Berhad pada masa ini dibekalkan dengan 60,000 liter petrol sebulan.
“Kerap kali stesen minyak ini mengalami kekurangan bekalan minyak terutama ketika musim nelayan ramai ke laut,” katanya.
Stesen minyak ROVR ini telah memulakan operasi pada November 2024 yang membolehkan penduduk di Pulau Bruit menikmati harga petrol sama seperti harga di pasaran iaitu RM2.05 seliter.
Dalam pada itu, Abdullah memohon kerjasama Petronas, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) mempertimbangkan supaya dibina stesen minyak diesel bersubsidi di pangkalan jeti baharu LKIM, selatan Pulau Bruit.