KUCHING, 19 Sept: Sarawak tidak terkecuali daripada menerima tempias cabaran global akibat perubahan iklim.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mengimbangi pembangunan dengan aspek kelestarian alam sekitar meskipun sukar untuk dilaksanakan.
“Sarawak komited sepenuhnya untuk memacu pembangunan di wilayah ini.
“Bagaimanapun, usaha ini memerlukan sokongan kolektif dan kerjasama seluruh masyarakat bagi memastikan Sarawak kekal sebagai rumah tercinta yang kita hargai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Kewangan N14 Batu Kawah kepada 45 badan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.
Antara NGO yang menerima bantuan kewangan ialah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Cina, Persatuan Alumni Sekolah Menengah Persendirian Cina, gereja dan tokong.
Jelas beliau badan-badan NGO juga memainkan peranan penting dalam membantu untuk menyokong secara aktif inisiatif teknologi hijau dan tenaga boleh baharu yang diusahakan oleh Kerajaan Sarawak.
“NGO memainkan peranan yang semakin penting dan bertindak sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat.
“Usaha melindungi alam sekitar boleh bermula dengan langkah kecil dalam kehidupan seharian seperti mengurangkan sisa buangan, menggalakkan aktiviti hijau dalam kalangan komuniti serta menggurangkan penggunaan tenaga,” katanya. -TVS