KUCHING, 19 Sept: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempunyai visi dan hala tuju yang jelas untuk membangunkan sektor bernilai tinggi.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, bagi merealisasikan perkara itu, terdapat keperluan membabitkan latihan kemahiran bagi memupuk bakat-bakat Malaysia dalam sektor-sektor berkenaan.
Sediakan pendidikan seimbang, Kolej Islam Teknikal akan ditubuhkan – Abang Johari
“Kalau mahukan pelaburan bernilai serta berpotensi tinggi, kita perlu ada jurutera, juruteknik dan pekerja-pekerja berkemahiran tinggi.
“Kementerian akan memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Sarawak bagi memastikan jaringan institusi pendidikan sama ada konvensional mahupun Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai kekuatan untuk melahirkan modal insan yang sesuai dengan strategi Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sediakan pendidikan seimbang, Kolej Islam Teknikal akan ditubuhkan – Abang Johari
Tambah beliau, Abang Johari juga membangkitkan isu mengenai keperluan untuk tenaga kerja mahir khususnya dalam sektor-sektor bernilai tinggi dan pertumbuhan tinggi, antaranya aeroangkasa dan beberapa sektor lain.
Baru-baru ini Abang Johari dilaporkan berkata Sarawak perlu bersedia lebih awal dengan melatih anak-anak tempatan menguasai kemahiran dalam industri aeroangkasa yang disifatkan sangat canggih dan menyeluruh.
Perkara tersebut perlu diberi perhatian berikutan Sarawak telah dikenal pasti sebagai tapak pelancaran satelit baharu di Malaysia yang berkemungkinan terletak di Lundu-Sematan kerana lokasinya lebih dekat dengan khatulistiwa.
Keputusan itu dicapai atas persetujuan bersama dalam mesyuarat mengenai pembangunan fizikal Malaysia yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihadiri beliau beberapa bulan yang lepas. – TVS