JAKARTA, 19 Sept: Direktorat Jenayah Polis Indonesia (Bareskrim) berjaya membongkar kes pengubahan wang haram (TPPU) hasil jenayah pengedaran dadah.
Polis berjaya merampas sejumlah aset milik suspek bernama Hendra Sabarudin (HS) yang merupakan banduan tetapi bertindak sebagai pengendali utama sindiket itu walaupun berada dalam penjara.
Menurut pengarahnya Bareskrim Wahyu Widada, suspek mengawal penyeludupan dadah jenis syabu yang masuk ke Indonesia dari Malaysia berjumlah lebih daripada tujuh tan sejak 2017 hingga 2024.
Wang hasil agihan syabu itu kemudiannya digunakan untuk membeli pelbagai aset seperti tanah, rumah, kereta, hingga bot laju dengan bantuan lapan kakitangannya yang turut ditahan kerena berperanan menguruskan aset serta pengubahan wang haram.
“Berdasarkan analisis dan siasatan, pendapatan sindiket perniagaan dadah dalam rangkaian Malaysia-Indonesia selama enam tahun mencecah IDR2.1 Trilion atau RM584 juta apabila sebahagian daripada wang yang diperoleh digunakan untuk membeli aset,” katanya.
Beliau turut mendedahkan, walaupun suspek kini berada di penjara tahap II A Tarakan, Kalimantan Utara, dia masih mempunyai keupayaan mengawal pengedaran dadah di Indonesia Tengah khususnya di Kalimantan Utara, Kalimantan Timur, Kalimantan Selatan, Sulawesi, Bali dan Jawa Timur.
Wahyu turut memperincikan aset yang dirampas sebagai bukti pengubahan wang haram iaitu, 21 kereta, 28 motosikal, lima kenderaan marin (satu bot laju dan empat kapal), dua kenderaan jenis ATV, 44 bidang tanah dan bangunan, dua jam tangan mewah,dan wang tunai lebih RM61 juta.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya akan terus memerangi jenayah dadah.-TVS