KUCHING, 19 Sept: Rang Undang-Undang Pekerja Gig dan Ordinan Buruh Sarawak akan dibentang di persidangan Parlimen pada akhir tahun 2024.
Pindaan RUU tersebut akan memberi kesan positif yang besar kepada kebajikan dan hak pekerja di Malaysia secara keseluruhannya terutama dari segi kebebasan berkesatuan serta perundingan kolektif.
Menteri Sumber Manusia, Steve Sim Chee Keong berkata, pindaan tersebut adalah kali pertama dalam lebih kurang 20 tahun penantian Ordinan Buruh Sarawak untuk memberikan hak dan perlindungan kepada pekerja di Sarawak yang sama seperti di Semenanjung Malaysia.
“Ordinan Buruh Sarawak adalah satu RUU yang melihat kepada hak perlindungan perkerja di Sarawak khususnya seperti Akta Kerja 1955 di Semenanjung Malaysia.
“Jadi tahun ini kita akan masukkan pindaan kali pertama dalam lebih kurang 20 tahun Ordinan Buruh Sarawak untuk memberikan hak dan perlindungan yang sama kepada pekerja di Sarawak berbanding pekerja di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif Sarawak Commercial Bank’s Association (SCBA/SBEU) Sarawak di Hotel Sheraton di Kuching pada Khamis.
Tambahnya, pembentangan RUU Pekerja GIG itu merupakan kesinambungan daripada amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan Mac lalu di Kongres Bumiputera untuk mewujudkan perlindungan kepada pekerja dengan lebih baik.
Jelasnya, mekanisme perlindungan kepada pekerja dalam sektor gig tidak termaktub dalam takrifan akta pekerja.
“Dalam RUU tersebut akan ada empat perkara pertama.
“Satu ialah definasi pekerja gig, siapa pekerja gig dan keduanya akan ada unsur seperti bayaran pampasan yang lebih,” jelasnya.
Terdahulu, empat perundangan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mula berkuat kuasa esok bagi menambah baik prinsip kebebasan berkesatuan dan perundangan kolektif.
KESUMA dalam kenyataan memaklumkan keempat-empat perundangan berkenaan melibatkan Akta Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2020, Akta Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2024, Peraturan-Peraturan Perhubungan Perusahaan 2024, dan Peraturan-Peraturan Kesatuan Sekerja 2024. -TVS