KUCHING, 19 Sept: Pindaan Ordinan Buruh Sarawak (SLO) yang kali terakhir dilakukan lebih 20 tahun lepas dijangka akan dibentang untuk pindaan pada Sidang Parlimen hujung tahun ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, pindaan tersebut bagi memastikan SLO dapat diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang meliputi pekerja-pekerja di Semenanjung Malaysia.
“Jadi selepas tahun ini, kita akan melihat Akta Kerja diselaraskan dengan SLO dan juga Ordinan Buruh Sabah yang telah saya bentangkan di Parlimen sebelum ini.
“Oleh itu pekerja di seluruh Malaysia akan mendapat hak dan perlindungan yang sama, tiada lagi layanan dua darjat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat bertemu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu Steven Sim turut mengucapkan terima kasih kepada Abang Johari kerana menjadi antara individu yang ke hadapan dalam memastikan penyelarasan antara SLO dan Akta Kerja 1955.
Kerajaan Sarawak sebelum ini telah bersetuju untuk meminda SLO bagi memastikan ia selari dengan Konvensyen Buruh Antarabangsa dan juga pindaan terbaharu Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang diluluskan di Parlimen pada Mac 2022.
Akta tersebut telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 untuk manfaat majikan dan pekerja.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala dilapor berkata pindaan terhadap peruntukan undang-undang Ordinan Buruh (Sarawak bab 76) telah dimuktamadkan serta diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan selanjutnya dihantar ke Jabatan Peguam Negara.
Jelas Gerawat, SLO yang dibentang dan diluluskan di Parlimen tidak perlu dikemukakan semula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak memandangkan SLO merupakan undang-undang persekutuan yang hanya terpakai di Sarawak. -TVS.