MIRI, 19 Sept: Pelabuhan Miri akan memainkan peranan lebih besar pertumbuhan ekonomi Sarawak dengan pelaksanaan projek pendalaman saluran akses baharu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata saluran baharu ini membolehkan kapal berdraf dalam berlabuh sekali gus memperkukuh peranan pelabuhan sebagai penghubung utama antara Sarawak dan pasaran global.
Jelas belia, di Sarawak pelabuhan adalah sangat penting kerana menghubungkan pengangkutan laut dan darat untuk menyokong aktiviti ekonomi.
“(Bagi) memenuhi keperluan perdagangan global, pelabuhan mesti mengekalkan infrastruktur yang cekap, peralatan canggih dan memiliki teknologi terkini.
“(Oleh itu) pelabuhan seperti Pelabuhan Miri adalah penting untuk pembangunan ekonomi negara kita (kerana) berfungsi sebagai pemangkin utama, memudahkan perdagangan dan menyediakan perkhidmatan logistik yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi pada Majlis Makan Malam Penghargaan bersempena Majlis Perasmian Pecah Tanah untuk Projek Pengorekan dan Kerja Bersepadu di sini malam tadi.
Petang semalam, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut memaklumkan Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana berjumlah RM280 juta untuk pembangunan lanjut Pelabuhan Miri di Delta Batang Baram.
Abang Johari berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa dengan RM208 juta disalurkan untuk kerja – kerja peringkat awal.
Sementara itu Douglas Uggah berkata, bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan ekonomi digital, Pelabuhan Miri harus mengadopsi teknologi canggih dan automasi penuh untuk kekal kompetitif.
“Projek ini juga diharap dapat merangsang pertumbuhan sektor perindustrian dan pelaburan di wilayah utara Sarawak, selari dengan visi negeri untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya,
Tambahnya, Pelabuhan Miri juga akan dilengkapi dengan teknologi Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS) untuk meningkatkan keselamatan dan efisiensi navigasi, mengurangkan risiko kemalangan, dan mempercepatkan perolehan kapal. -TVS.