BETONG, 19 Sept: Kerajaan Sarawak menerusi Jawatankuasa Kerja Sektor Agro-Pertanian Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) memperuntukan RM259,620,200 untuk pelaksanaan pelbagai projek.
Pengerusinya, Friday Belik berkata, peruntukan tersebut merangkumi 43 projek yanmg kini berada di pelbagai peringkat pelaksanaan.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut sudah membelanjakan RM10 juta atau 3.8 peratus daripada keseluruhan peruntukan yang diluluskan setakat ini.
“Daripada keseluruhan perbelanjaan (RM259,620,200), kita telah membelanjakan RM10 juta atau 3.8 peratus.
“Ini merupakan satu prestasi agak baik berbanding tempoh permulaan projek yang diluluskan untuk dilaksanakan di bawah jawatankuasa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di sini pada Khamis.
Friday berkata, beliau optimis perlaksanaan kesemua projek di bawah kendalian jawatankuasa itu dapat dijalankan sepenuhnya pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
“Untuk projek yang telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2024, kebanyakannya dalam peringkat akhir penyediaan dokumen tender dan kita menjangkakan kebanyakan daripada projek ini ditender menjelang hujung tahun 2024 dan mungkin akan mula dilaksanakan pada awal tahun 2025.
“Ini merupakan sasaran kita dan berharap agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan untuk projek terbabit dapat mempercepatkan proses tender bagi membolehkan kesemua projek ini dapat bermula pada awal tahun 2025,” ujarnya.
Turut hadir ADUN Kabong Mohd Chee Kadir, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, Residen Bahagan Betong Richard Michael Abu Nawas, Pegawai Tadbir Khas BDDA Abang Mohamed Abang Turkey dan Pegawai Pertanian Bahagian Betong Petrus Kang. -TVS