KUCHING, 19 Sept: Peserta Kongres Perubatan Tropika dan Malaria perlu memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan membincangkan kesan perubahan iklim, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata, dua perkara tersebut penting untuk membasmi penyakit tropika dan malaria selain merupakan bahagian penting dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“AI berada di sini bersama kita, jadi bincangkan mengenainya, ia diperlukan dalam cara kita merawat penyakit dan melakukan penyelidikan.
“Kita perlu sedar, ramai orang mati kerana perubahan iklim, kesan geografi, penularan dan sebagainya.
“Jadi, kita sebagai komuniti saintifik perlu melakukan lebih banyak kajian atau usaha,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Antarabangsa Perubatan Tropika dan Malaria (ICTMM) ke-21 pada Khamis.
Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyeru peserta memanfaatkan peluang menerusi kongres tersebut untuk membincangkan penyelidikan terkini, berkongsi pengalaman dan membangunkan strategi mengurangkan kesan cacar monyet serta potensi wabak pada masa depan.
Menurutnya, walaupun kesan cacar monyet terkawal namun ia memerlukan kesiapsiagaan, pengawasan dan mekanisme tindak balas terhadap wabak baharu.
Kongres bertemakan Tindak Balas Global dan Penyelidikan Antara Disiplin Ke Arah Menghapuskan Penyakit Tropika itu disertai 1,200 peserta dari lebih 58 negara yang melibatkan saintis, doktor, pemain industri, penggubal dasar dan pihak berkuasa antarabangsa.-TVS