KUCHING, 19 Sept: Jaringan perhubungan antara Sarawak dan Indonesia melalui Kalimantan Barat akan dipercepatkan menerusi kerjasama rapat antara agensi dengan kementerian berkaitan kedua-dua pihak.
Konsul Jeneral Republik Indonesia Kuching, Raden Sigit Witjaksono berkata, ketersambungan melalui darat, laut dan udara adalah penting untuk meningkatkan mobiliti barangan dan manusia.
“Kami menghargai usaha kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pengangkutan, mengadakan lawatan ke Pontianak, Singkawang dan Sambas pada awal September ini.
“Lawatan ini sangat menggalakkan pihak berkaitan di Sarawak dan Kalimantan Barat untuk mempercepatkan jaringan perhubungan antara dua wilayah itu,” katanya.
Langkah kerjasama itu bagi memaksimumkan faedah bagi kedua-dua komuniti dengan pemindahan ibu kota baharu di Nusantara.
Raden berharap pihaknya yang mewakili kerajaan Indonesia di Sarawak dapat meneruskan kolaborasi pada masa hadapan dengan tujuan untuk mempertingkat dan mengukuhkan perkongsian antara Sarawak dan Indonesia, serta lebih meluas dalam wilayah Borneo.
Katanya ia termasuk bantuan dan kerjasama dari segi sokongan pelaksanaan Pusat Pendidikan Komuniti (CLC) di Sarawak.
Setakat ini terdapat 64 CLC yang aktif di Sarawak dengan 16 daripadanya didaftarkan oleh Kerajaan Sarawak melibatkan 2,500 pelajar berusia antara 7 hingga 12 tahun serta 103 guru. -TVS