PULAU BRUIT, 19 Sept: Peruntukan dana pembangunan yang besar untuk kawasan luar bandar bukan sia-sia tanpa pulangan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Beliau menegaskan, penduduk di luar bandar yang terdiri daripada nelayan dan petani mempunyai sumbangan dari aspek pembangunan ekonomi menerusi hasil laut dan tani mereka.
“Adalah wajar untuk masyarakat tani dan nelayan yang ramai mendiami kawasan pesisir dan pedalaman yang serba kekurangan dari segi kemudahan asas dibela oleh kerajaan dengan peruntukan mencukupi bagi menyediakan kemudahan awam paling asas seperti jalan raya yang selesa, kemudahan utiliti seperti air paip dan elektrik serta struktur kemudahan sekolah yang sempurna.
“Mungkin ramai tidak nampak bahawa masyarakat luar bandar seperti di Pulau Bruit yang mempunyai keahlian nelayan terbesar dalam Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) berperanan penting dalam rangkaian struktur pembangunan sosioekonomi sesebuah masyarakat dalam negeri atau negara,” katanya.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata demikian pada Majlis Perasmian Stesen Minyak ROVR Petronas di Tekajong di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, walaupun kerajaan sedang rancak melaksanakan pelbagai bentuk polisi ekonomi moden berasaskan kaedah digital dan industri terkini berasaskan tenaga diperbaharui serta kelestarian alam sekitar, ekonomi tradisi seperti pertanian dan perikanan tetap relevan.
Sektor pertanian dan perikanan adalah aktiviti ekonomi tertua di dunia, yang tidak mungkin akan pupus selagi ada tanah dan laut, jelasnya sambil menambah permintaan terhadap hasil pertanian dan laut tidak mungkin akan berkurangan.
Justeru, beliau menyeru warga tani dan nelayan Pulau Bruit supaya bersedia mengambil peluang menaik taraf kehidupan ketika pembangunan infrastruktur semakin baik di kawasan mereka terutama setelah Jambatan Muara Lassa dan Jambatan Batang Paloh siap kelak.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Pesta Pulau Bruit 2024 yang diadakan baru-baru ini berkonsepkan agrofest mini bukan sekadar untuk menampilkan pelbagai produk hasil laut dan pertanian, tetapi niat besarnya adalah untuk memartabatkan kedudukan dan peranan warga tani dan nelayan.
“Saya yakin pembelanjaan besar untuk mengadakan Agrofest di Bintulu pada Julai yang lepas dan MAHA yang sedang diadakan di Serdang sekarang adalah untuk memberi kesedaran awam tentang betapa penting sektor pengeluarkan makanan dalam negara,” jelasnya.