BINTULU, 19 Sept: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dan Yayasan Kebajikan Negara Malaysia hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi penubuhan Anjung Kasih YKN di Hospital Bintulu, Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, BPHB menjadi badan korporat pertama menaja sepenuhnya penubuhan Anjung Kasih.
“Saya difahamkan (kos) penubuhan Anjung Kasih (di hospital ini) berjumlah RM1 juta.
” Kerjasama strategik ini akan memberi manfaat kepada masyarakat yang mendapatkan khidmat rawatan di sini (kerana) sebelum ini ada (keluarga) pesakit yang datang (terpaksa) tidur di koridor.
“Anjung Kasih YKN Hospital Bintulu ini merupakan Anjung Kasih YKN yang keempat di Sarawak selepas di Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu dan Hospital Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoA dan Penyerahan Tajaan Yayasan Kebajikan Negara Malaysia dan Bintulu Port Holdings Berhad bagi Penubuhan Anjung Kasih YKN Hospital Bintulu, Sarawak di sini Hari ini.
MOA ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad Ruslan Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Malaysia Nordina Haron.
Tambah Nancy, objektif penubuhan Anjung Kasih itu adalah untuk menyediakan penginapan mesra insan bagi pesakit atau waris pesakit ketika menerima rawatan di hospital.
“Pesakit yang sedang menerima rawatan memerlukan bantuan menguruskan pesakit serta sokongan emosi daripada ahli keluarga atau waris.
“Dengan kewujudan Anjung Kasih YKN dapat meringankan bebanan perbelanjaan serta masa untuk berulang alik dari rumah ke hospital disamping mengeratkan lagi ikatan kasih sayang antara keluarga,” katanya.
Anjung Kasih di Hospital Bintulu mempunyai 67 katil serta dilengkapi bilik kaunseling, ruang tamu, ruang makan, ruang solat, bilik aktiviti dan tandas.
Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata, usaha murni tanggungjawab sosial korporat yang ditunjukan oleh Bintulu Port amat membanggakan dan dapat menjadi contoh kepada syarikat korporat lain untuk sama- sama membantu mereka yang memerlukan.
Pada masa kini terdapat 19 buah Anjung Kasih yang telah beroperasi di seluruh negara dan telah memanfaat kepada 104,714 orang sejak mula beroperasi pada 2006 secara berperingkat.-TVS.