KUCHING, 19 Sept: Autonomi menguruskan operasi Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Sarawak hujung tahun akan membantu menggandakan hasil pendapatan wilayah ini.
Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr Neilson Ilan Mersat berkata, hasil berkenaan kemudian akan digunakan untuk merancakkan pelan pembangunan di Sarawak.
Jelas beliau, perkembangan itu juga menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil kira kepentingan autonomi berkenaan kepada Sarawak.
“Ini juga menunjukkan kesungguhan Kerajaan Pusat merealisasikan kehendak Sarawak apabila meluluskan perkara ini di Parlimen,” katanya kepada TVS baru-baru ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum ini memberitahu Pelabuhan Bintulu dijangka diambil alih sepenuhnya oleh Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan pada Disember tahun ini.
Sementara itu Neilson menjelaskan, melihat kepada perkembangan terkini di negara jiran khususnya pembangunan pesat di ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur akan membuka peluang ekonomi kepada Sarawak membabitkan sektor pelabuhan.
Katanya, pembangunan pelabuhan di beberapa tempat di Sarawak juga akan membuka peluang pekerjaan yang akan diisi oleh anak-anak Sarawak sama ada dalam bidang berkemahiran tinggi atau rendah.
“Mungkin kita (Sarawak) masih memerlukan pakar-pakar dari luar untuk membantu dari segi pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi.
“Tetapi ini juga akan memberi kesan kepada pekerja-pekerja tempatan yang turut mendapat latihan bagi memenuhi permintaan di dalam beberapa jawatan berkaitan itu nanti,” jelasnya.
Tambah beliau oleh sebab itu kerajaan memberi penekanan kepada Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memudahkan mereka mendapat peluang pekerjaan yang dibuka di pelabuhan. -TVS.