Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
示意图

APM sedia 16,000 kekuatan anggota hadapi MTL

ByBernama

KUALA NERUS, 19 Sept: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap sedia dengan kekuatan 16,000 anggota di seluruh negara bagi menghadapi ketibaan Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata jumlah itu termasuk pegawai dan anggota tetap serta sukarelawan APM yang akan digerakkan secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan.

Beliau berkata selain itu, lebih 1,000 aset termasuk bot, kenderaan pacuan empat roda, ambulans dan lori telah disiapkan dan berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi sebarang bencana tidak diingini.

“Kita telah kenal pasti semua kawasan berisiko banjir atau bencana seperti tanah runtuh. Contohnya, di Terengganu ada sebanyak 459 lokasi dengan bilangan tertinggi di daerah Dungun.

“Setiap tahun kita menyediakan perancangan di setiap negeri dan ada pasangan yang kita panggil negeri strategik. Jika berlaku banjir teruk atau luar jangka di satu-satu negeri, negeri lain akan bantu seperti Kelantan, negeri strategik ialah Perak dan Kedah,” katanya selepas majlis perasmian penutup Himpunan Pertahanan Awam (HiPA) Peringkat Zon Timur 2024 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminurrahim turut mengingatkan orang awam supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan berwaspada akan persekitaran yang berbahaya.

Orang ramai dinasihatkan memeriksa keadaan persekitaran rumah, pokok atau struktur bangunan yang tidak selamat dan melaporkan kepada wakil penduduk atau pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut, kata beliau.

“Walaupun kita bersiap-siaga dengan pelbagai aset dan kelengkapan, kesedaran orang awam amat penting. Sentiasa peka dengan cuaca dan muat turun aplikasi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) iaitu myCuaca untuk informasi terkini.

“Jika terlihat binaan bangunan atau pokok yang boleh bahayakan orang ramai, lapor kepada PBT dengan segera,” katanya.

Beliau berkata setakat ini ibu pejabat APM masih belum mengeluarkan arahan untuk membekukan cuti anggota dan pegawai kerana masih ada tempoh sehingga peralihan monsun. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan