BAU, 18 Sept: Dua cedera selepas pikap dinaiki kemalangan kendiri di Kampung Nawang, Jalan Bau-Lundu di sini, tengah hari semalam.
Komander Operasi Kanan, PKPgB Tawang Lingem berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 1.26 tengah hari dengan menggerakkan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi kejadian.
“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah pikap yang telah melanggar pembahagi jalan sebelah kiri menghala ke Lundu.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat iaitu seorang mangsa selamat (pemandu) serta tiada mengalami kecederaan.
“Dua orang mangsa iaitu lelaki berusia 77 tahun cedera di bahagian kepala dan tangan kiri manakala seorang lagi penumpang berusia 76 tahun patah kaki kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang cedera telah dikeluarkan bihak bomba menggunakan alat pengusung.
“Unit EMRS juga telah bertindak memberi rawatan awal kepada dua orang mangsa yang cedera sebelum menghantar kedua-dua mangsa ke Hospital Bau bagi mendapat rawatan,” ujarnya.- TVS