KUCHING, 18 Sept: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komunti Sarawak menerusi One Stop Committee (OSC) komited untuk menangani isu penyalahgunaan dadah dan subtans di sini.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kerjasama utuh melibatkan pelbagai ejensi, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Sarawak diperlukan untuk mencapai mattamat berkenaan.
Jelas beliau kerjasama tersebut telah membuahkan kejayaan apabila terdapat peningkatan penangkapan bagi isu dadah dan substans di Sarawak.
“Saya ukur kejayaannya (membabitkan aspek) kerjasama yang kita dapat jalinkan melalui jawatankuasa ini dan Alhamdulillah kerjasama ini masih utuh sejak mula ia ditubuhkan.
“Ini adalah pendekatan yang kita gunakan di Sarawak sebab kita tahu untuk menangani isu dadah dan substans ini, ia memerlukan usaha bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Laporan Bulanan One Stop Committee (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Negeri Sarawak Bilangan 2/2024 di Bangunan Baitulmakmur II di sini hari ini.
Ujar Fatimah, salah satu indikator kejayaan penubuhan OSC di Sarawak iaitu terdapat peningkatan jumlah individu yang tampil ke hadapan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela.
Sementara itu Timbalan Pengarah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mat Zani @ Salahuddin Che Ali berkata, pendekatan Sarawak boleh dijadikan contoh oleh negeri lain dalam menangani isu dadah dan substans.
“Jadi One Stop Committee ini adalah satu platform yang amat baik dan bagi saya perlu dilaksanakan juga di semua negeri- negeri di Malaysia.
“(Saya juga ingin kongsikan) trend kemasukan dadah di Sarawak masih terkawal dan tiada penglibatan yang serius direkodkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, sejak Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 5, 774 operasi penguatkuasaan telah dijalankan dan 8,199 tangkapan dilakukan. -TVS.