SRI AMAN, 18 Sept: Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) membina Blok Wad Psikiatri di Hospital Sri Aman 2.
Pengerusinya, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, peruntukan itu juga akan digunakan untuk penyediaan bilik konsultasi, farmasi dan keperluan lain yang berkaitan.
“Ini kerana tapak Hospital Sri Aman 1 telah diperuntukkan untuk melaksanakan Projek Klinik Kesihatan Jenis 2 yang akan memberi kemudahan tambahan kepada penduduk di sekitar Sri Aman.
“Jadi ini antara projek-projek yang diberi perhatian oleh kita di SADA setakat ini,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.
Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Veronica Lugah dan pegawai-pegawai kanan JKNS telah mengadakan kunjungan hormat kepada Rohani bagi memaklumkan Pelan Pembangunan Klinik Kesihatan baharu Sri Aman termasuk Pembangunan Blok Wad Psikiatri di hospital baru tersebut.
Jelas Rohani, hampir 90 peratus peruntukan RM1.5 bilion yang diberikan kepada SADA telah digunakan untuk pelaksanaan pelbagai projek yang telah dipohon.
“Kebanyakan projek yang dipohon ialah melibatkan projek pembinaan infrastruktur kerana banyak kawasan di dalam SADA belum dihubungi dengan jalan raya seperti ke kawasan kampung dan daerah-daerah kecil.
“Kawasan SADA meliputi empat daerah iaitu Lubok Antu, Pantu, Lingga dan Sri Aman serta kepentingan aspek ketersambungan terus diberi fokus pihak kami bagi memastikan pembangunan lain dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Katanya, SADA turut memberi fokus kepada pembangunan sosial dan pendidikan dengan penubuhan Sarawak Skills yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET) di Sri Aman. – TVS