SRI AMAN, 18 Sept: Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) menyahut seruan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan kawasan itu sebagai jelapang padi di negara ini.
Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya menerima banyak cadangan berkaitan pembangunan pertanian.
“Sebab kita (Kerajaan Sarawak) mahu menjadikan kawasan SADA sebagai kawasan pertanian menjadi hab pengeluaran makanan untuk Sarawak khasnya dan Malaysia amnya,” katanya ketika ditemui TVS di sini, baru-baru ini.
Jelas Rohani, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, tidak mustahil kawasan pertanian SADA mampu mengeksport produk makanan ke luar negara.
“Kita sangat berpuas hati dengan perkembangan beberapa projek ini yang telah berjalan lancar,” jelasnya.
Selain itu, beberapa projek pelancongan masih dalam proses kelulusan termasuk pelantikan konsultan yang telah selesai dilaksanakan.
“Kita ada Taman Negara Gunung Lesong terletak di Banting Lingga, Sri Aman dan Pesta Benak yang sinonim dengan kawasan ini,” jelasnya.
Tambahnya, salah satu projek terbaharu yang menjadi kebanggaan SADA dan penduduk tempatan di Sri Aman ialah kemudahan lampu isyarat berkeupayaan kecerdasan pintar (AI) berasaskan sistem ‘Sarawak Traffic Light Intelligence Logistic Excellence’ (STILE) di Bandar Simanggang.
“Teknologi seperti ini pertama di Sarawak dan kita berharap ia akan memberi kemudahan kepada masyarakat di sini dan menjadi salah satu tarikan yang terdapat di bandar ini,” ujarnya lagi.
Terdapat lima kemudahan lampu isyarat baharu berasaskan sistem STILE yang beroperasi di bandar itu yang sinonim dengan fenomena benak itu. -TVS