NEW YORK, 18 Sept: Bintang rap berpengaruh Amerika Syarikat (AS), Sean “P. Diddy” Combs pada Selasa mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terlibat dalam penyelewengan dan pemerdagangan seks dan diperintah untuk kekal dalam tahanan sementara menunggu perbicaraan.
Combs, 54, ditangkap oleh ejen persekutuan di New York pada petang Isnin dan dituduh dengan tiga jenayah yang baharu, didakwa mendera wanita secara seksual dan memaksa mereka mengikuti pesta seks menggunakan ancaman dan keganasan.
P Diddy mengaku tidak bersalah semasa dihadapkan di Mahkamah Manhattan pada Selasa.
Dalam prosiding, peguamnya mencadangkan Hakim Majistret Robyn Tarnofsky untuk memberi ikat jamin, namun ditolak kerana potensi melarikan diri dan menganggu mangsa.
Hakim Tarnofsky turut memetik kebimbangan mengenai dakwaan kecenderungannya untuk melakukan keganasan dan penyalahgunaan bahan.
Combs juga terikat dengan dakwaan pertuduhan memperdagang mangsa ke seluruh negeri untuk terlibat dalam aktiviti pelacuran.
Peguam AS untuk Daerah Selatan New York, Damian Williams berkata, walaupun Combs adalah satu-satunya orang yang didakwa buat masa ini, siasatan sedang dijalankan.
Dakwaan itu menyebut bahawa selama beberapa dekad Combs telah “mendera, mengancam, dan memaksa wanita dan orang lain di sekelilingnya untuk memenuhi keinginan seksualnya, melindungi reputasinya, dan menyembunyikan kelakuannya.”
Selain itu, Coms turut didakwa menjalankan perusahaan jenayah yang menjalankan “pemerdagangan seks, buruh paksa, penculikan, pembakaran, rasuah, dan menghalang keadilan.” -AFP