KUCHING, 18 Sept: Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang ketujuh, berkuat kuasa semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi di Putrajaya hari ini, sebelum pelantikan Mohd Rosli memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.
“Beliau berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang keselamatan maritim dan memiliki kepakaran dalam perancangan serta pelaksanaan operasi maritim, khususnya berkaitan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan dadah, barangan kontraban, serta rompakan di laut,” menurut kenyataan itu.
Antara kejayaan terbesar di bawah kendalian beliau adalah Operasi Pelantar Merah yang berjaya menghasilkan tangkapan berprofil tinggi dan mengurangkan kadar jenayah di sekitar pelantar minyak dalam perairan negara.
Mohd Rosli juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Maritim Malaysia, termasuk Pengarah Maritim Negeri Selangor, Pengarah Perisikan Maritim Malaysia, Pengarah Perancangan Strategik Maritim Malaysia, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, serta Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia.
“Pelantikan beliau diharapkan akan membawa sinergi baharu dalam memperkukuhkan peranan Maritim Malaysia sebagai agensi utama dalam penguatkuasaan undang-undang serta menjaga keselamatan nyawa dan harta benda di laut, demi kesejahteraan perairan negara,” tambah kenyataan itu lagi.
Datuk Mohd Rosli menggantikan Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin yang bersara wajib pada 19 April lalu. – TVS