MIRI, 18 Sept: Miri akan memiliki sebuah pelabuhan yang canggih dengan teknologi terkini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, pelabuhan tersebut akan memberi manfaat ekonomi kepada pelbagai sektor di bandar raya ini pelabuhan minyak ini.
Kata beliau sektor yang dijangka akan mendapat kesan ekonomi termasuk kargo kontena dengan menggunakan kemudahan yang terkini.
“(Yang) kedua adalah untuk kapal-kapal persiaran (mewah yang) mungkin boleh singgah di sini seperti kapal yang ada sekarang (Royal Caribbean Cruises) yang pergi ke utara Semenanjung Malaysia dan juga selatan Thailand.
“Ia juga boleh menjadi route permulaan ke Indonesia dan kemudian boleh singgah di Miri dan ini bermakna mereka boleh menyediakan kemudahan untuk para pelancong yang menggunakan kapal peranginan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir pada Majlis Pecah Tanah untuk Projek Pengorekan dan Kerja Bersepadu di Delta Batang Baram, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.
Sementara itu ketika berucap pada majlis itu, Abang Johari berkata, pendapatan Sarawak dijangka akan meningkat tahun ini berbanding RM13.3 bilion pada 2023.
Jelas beliau, perinciannya akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan Sarawak 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November depan.
“Kejayaan ini berkat kesepaduan rakyat Sarawak,” tambah Abang Johari. – TVS