PUTRAJAYA, 18 Sept: Peranan kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya tertumpu kepada hal ehwal Islam dan tidak melibatkan penggubalan dasar atau menentukan hala tuju kementerian atau jabatan kerajaan.
Perkara ini dijelaskan dalam pertemuan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar serta wakil Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan isu berkaitan penempatan pegawai JAKIM di kementerian dan jabatan kerajaan.
“Pegawai ini hanya menjalankan fungsi perkhidmatan seperti Pembangunan Insan (kemahiran insaniah, bimbingan Fardu Ain dan Fardu Kifayah); Keselamatan (kelas agama, pengukuhan akidah, pembanterasan fahaman ekstremisme) serta Pencegahan (bimbingan dan nasihat agama, kelas Al-Quran dan Fardu Ain, sokongan psikospiritual Islam dan pembangunan insan),” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa pelantikan kader JAKIM sejak 2006 adalah berdasarkan jawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui permohonan kementerian, jabatan atau agensi kerajaan untuk mengendalikan hal ehwal Islam sahaja.
Pada masa ini, terdapat 1,250 pegawai kader JAKIM dan tiada pelantikan baharu di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Pertemuan hari ini telah mencapai persetujuan bersama antara semua wakil dan pemimpin agama Islam serta bukan Islam berhubung isu penempatan pegawai JAKIM.
“Semua pemimpin agama bersetuju untuk memanfaatkan Biro Pengurusan Isu dan Mediasi (di bawah Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama yang ditubuhkan pada 14 Ogos 2020) bagi mencari penyelesaian kepada isu, permasalahan atau polemik,” menurut kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, MCCBCHST membantah susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat sejajar dengan prinsip Islam.
Namun, dakwaan tersebut disangkal oleh Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil yang menegaskan bahawa penempatan pegawai itu bertujuan membantu, terutamanya dari aspek integriti dan pengisian kerohanian dalam jabatan berkenaan.
Fahmi juga memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Aaron dan Mohd Na’im untuk mengadakan pertemuan dengan kumpulan agama bukan Islam bagi menangani isu ini dengan baik dan mengelakkan salah faham. – TVS