MUKAH, 18 Sept: Seorang lelaki ditemukan mati terjerut dalam keadaan tergantung di pagar tangga tingkat dua lot rumah kedai di Bandar Baru Mukah pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 8.45 pagi.
“Siasatan awal tidak menjumpai kesan pergelutan atau peralatan lain yang boleh mendatangkan kecederaan.
“Semasa pemeriksaan, sebarang pengenalan diri si mati yang dipercayai dalam lingkungan usia 20-an juga tidak ditemui,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Jelasnya, si mati berkulit kuning langsat, memakail baju-T berwarna hitam dengan tulisan ‘Sibu Bike Week 2018’, berseluar biru gelap, berambut lurus serta mempunyai tatu bunga terung di bahagian bahu kiri dan kanan.
Mayat katanya dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
Muhammad Rizal memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris si mati serta saksi yang melihat kejadian dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes SM Abdul Rahman Maerrad di talian 013-8029577. -TVS.