GEORGE TOWN, 18 Sept: Dua pelancong China maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap dinding bangunan dan pokok tumbang semasa hujan lebat dan angin kencang di tempat letak kereta sebuah premis pusat pelancongan di Lebuh Gereja di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Liu Xin Xin, 36, dan bapanya yang belum dikenal pasti identiti berusia 50 tahun maut di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah.
Pegawai Zon Daerah Timur Laut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Muhammad Syafiq Noor Azman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.19 petang.
Panggilan itu kata beliau memaklumkan kejadian dinding konkrit dan pokok bersaiz tiga pemeluk dewasa telah menghempap tiga buah kereta.
Katanya, kejadian berlaku semasa mangsa baru sahaja memasuki kereta untuk beredar bersama seorang pemandu sejurus melawat premis berkenaan.
“Mangsa wanita ditemui di tempat duduk penumpang hadapan dan lelaki ditemui di tempat duduk penumpang belakang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Menurut maklumat saksi, terdapat seorang pemandu kereta (itu) telah berjaya keluar,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, ujarnya, pasukan bomba turut berdepan kesukaran semasa proses menyelamat sehingga memakan masa kira-kira tiga jam sebelum kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 5.15 petang.
“Ia berikutan keadaan cuaca tidak menentu semasa operasi apabila berlaku hujan dan angin kencang sekejap-sekejap.
“Kawasan yang sempit juga menjadi kesukaran untuk membawa masuk kren ke lokasi kejadian,” katanya lagi. – TVS.