KUCHING, 18 Sept: Kumpulan penyanyi popular tempatan, Dolla bakal menemui peminat mereka di sini dalam satu sesi pertemuan eksklusif bersama peminat pada 29 September ini.
Penganjur Borneo Sonic Music Festival (BSMF) 2024, BME International Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata, sesi itu merupakan antara acara menarik yang bakal dianjurkan oleh pihaknya menjelang festival muzik yang dinanti-nantikan oleh peminat muzik seluruh dunia itu.
“Selain daripada persembahan muzik, BSMF 2024 turut dijangka akan menganjurkan Borneo Sonic Food Carnival selama empat hari bermula 9 hingga 12 Oktober di Dataran Perayaan, Di luar Stadium Sarawak.
“Pada 12 Oktober, acara Borneo Sonic Music Run akan diadakan, membolehkan orang ramai menyertai larian santai sejauh tiga dan enam kilometer,” katanya.
Tambah kenyataan itu terdapat juga acara lain seperti Sundown Festival serta persembahan pratonton daripada kumpulan tempatan, Harmonix.
BSMF 2024 sekali lagi bakal menggegarkan pentas di Stadium Sarawak Kuching tahun ini dengan menampilkan barisan artis tempatan serta antarabangsa pada 11 dan 12 Oktober ini.
Barisan artis yang akan membuat persembahan termasuk penyanyi sensasi dan artis hip hop dari Korea Selatan seperti Rain dan Jessi, ahli kumpulan K-Pop terkenal GOT7, Youngjae dan artis Korea Selatan lain seperti Junny, DJ UJoo serta Yoon Seobin.
Peminat turut menyaksikan kehadiran bintang pop Indonesia Judika dan Bunga Cinta Lestari bersama dengan bakat tempatan Malaysia seperti Yuna, Jess Lee, Priscilla Abby, Dolla, Namewee dan DJ Blink.
Antara lain, BSMF 2024 turut menjemput artis negara lain seperti 4EVE (Thailand), Slumberjack (Australia) dan Natalie La Rose (Belanda).
Untuk maklumat lanjut, termasuk harga tiket dan kemas kini acara, ikuti BSMF2024 di Instagram @borneosonic.mf atau layari laman web rasmi mereka di https://www.borneosonic.com. – TVS.