KUALA LUMPUR, 18 Sept: Pasukan boling lelaki Malaysia memulakan kempen Kejohanan Boling Asia Ke-27 di Bangkok, Thailand dengan penuh bergaya apabila menyapu bersih pingat emas, perak dan gangsa acara perseorangan.
Aksi di Pusat Boling Blu-O Thythm & Bowl Ratchayothin menyaksikan bekas juara dunia 2018, Rafiq Ismail meraih emas selepas mengumpul 1,419 jatuhan pin, tamat enam permainan.
Rafiq bermula dengan konsisten apabila menjatuhkan 235 pin diikuti 216,226,225,239 dan menamatkan  permainan dengan 278 pin.
Pingat emas ini menyaksikan Rafiq berjaya memperbaiki pencapaian tahun lepas di Hong Kong apabila meraih perak.
Sementara itu, pemain Australia, Jarrod Langford menduduki tempat kedua selepas mengumpul 1,391 pin.
Bagaimanapun penyertaan negara itu dari Zon Oceania pada kejohanan ini selaku pasukan jemputan menyaksikan Langford terpaksa berkongsi pingat perak dengan seorang lagi pemain Malaysia, Muhammad Hafiz Zainuddin yang menjatuhkan 1,383 pin.
Pingat gangsa turut menjadi milik seorang lagi pemain negara, Syafiq Ridwan Abdul Malek.
Malaysia sebelum ini pernah meraih emas acara itu pada 2016 dan 2019 menerusi Timmy Tan.
Sementara itu Kongres Tenpin Boling Malaysia menerusi kenyataan berkata, pencapaian itu menunjukkan skuad lelaki negara memberi amaran awal untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi mereka pada tahun lepas.
Rafiq dan rakan – rakan menampilkan aksi unggul pada 2023 apabila menang lima daripada enam pingat emas yang dipertandingkan.
Saingan kategori wanita menyaksikan Malaysia terlepas peluang menambah pingat apabila tercicir daripada senarai tiga teratas.
Pencapaian terbaik dilakar oleh Nora Lyana Nastasia NorKamal yang menduduki tempat keenam selepas menjatuhkan 1,301 pin.
Pemain berasal dari Miri, Sarawak, Gillian Lim pula di kedudukan kelapan manakala Nur Syazwani Sahar (10), Natasha Roslan (11), Sin Lin Jane (27) dan Faten Najihah Ahmad Faik di tempat ke-28 daripada 83 peserta.
Singapura meraih pingat emas menerusi Daphne Tan manakala Lara Posadas (Filipina) membawa pulang pingat perak.
Wakil Korea Selatan, Baek Sung Ja pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Kejohanan diteruskan esok dengan acara beregu lelaki dan wanita yang menawarkan dua pingat emas.
Sebanyak 20 negara antaranya Jepun, China, New Zealand, Thailand, India dan Qatar menyertai kejohanan kali ini. -TVS.