SRI AMAN, 18 Sept: Golongan belia di sini dilihat berminat untuk menceburi bidang pertanian terutamanya penanaman padi selain sukan.
Mereka juga mahu terlibat secara aktif dalam program pembangunan di sini serta memanfaatkan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak.
Nur Nabilah Wazir berkata, belia di sini mahu menjadikan bidang pertanian moden, kemahiran dan teknikal sebagai kerjaya.
“Sebagai contoh, Kerajaan Sarawak sekarang sedang membangunkan industri padi di Sri Aman menggunakan teknologi moden.
“Ini merupakan satu peluang keemasan terutamanya di Simanggang kerana tempat ini bakal menjadi hab pengeluaran makanan dan kita pada masa hadapan, kita tidak perlu bergantung kepada beras import,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.
Tambah Nur Nabilah, usaha itu juga mampu memberi pulangan lumayan kepada penduduk sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan.
“Kemajuan industri pengeluaran makanan di sini juga dijangka secara tidak langsung akan membantu menambah baik infrastruktur sedia ada di Sri Aman,” jelasnya.
Bagi Azrulhafidz Ahmad pula, sukan menjadi salah satu bidang yang semakin popular dalam kalangan golongan muda di sini.
Dia berharap agar kerajaan terus menambah baik kemudahan serta fasiliti sukan di Sri Aman bagi memastikan bidang itu menjadi satu kerjaya kepada golongan belia.
“Kerajaan juga boleh membuka lebih banyak institusi pendidikan di Sri Aman supaya anak-anak tempatan boleh melanjutkan pelajaran atau mengambil kursus kemahiran di tempat sendiri,” tambahnya.
Bagi Mohamad Azriq pula, dia bependapat anak-anak di Sri Aman perlu mengambil peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi seperti di universiti.
“Melalui pendidikan tinggi ini golongan belia dapat menimba ilmu dalam pelbagai bidang dan akan digunakan untuk membangunkan kawasan kita suatu hari nanti,” jelasnya.
Katanya, pelajar dan belia di kawasan luar bandar mesti menggunakan inisiatif pendidikan tinggi percuma yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak kepada anak-anak Sarawak menjelang 2026 sehabis baik. – TVS