MUKAH, 17 Sept: Kerajaan Sarawak bakal menubuhkan Kolej Islam Teknikal bagi menyediakan pendidikan seimbang di kalangan generasi muda, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Dakwah bil hal seperti menjalankan tugas yang dikehendaki, mengekalkan kehidupan dan menaik taraf kedudukan melalui pendidikan.
“Alhamdulillah, Kerajaan Sarawak akan menubuhkan Kolej Islam Teknikal yang akan memberikan peluang kepada anak Islam di Sarawak dengan ajaran Al-Quran, ilmu dunia dan akhirat,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak di sini, hari ini.
Tambah Abang Johari, ilmu dunia hendaklah dipelajari agar martabat Islam dapat diangkat supaya dihormati oleh orang lain sekali gus menjadi contoh kepada masyarakat lain.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. – TVS