KUCHING, 17 Sept: Kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah dijangka menjadi halangan terbesar kepada Sarawak yang mengidam untuk merampas gelaran juara keseluruhan pada temasya itu di sini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat II Sarawak yang juga ketua kontinjen Para SUKMA Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, bagi merealisasikan harapan muncul juara keseluruhan di gelanggang sendiri, Sarawak mencongak peluang untuk menang 83 pingat emas.

“Untuk edisi 2022, perbezaan kita dengan Sabah hanya empat pingat emas sahaja tapi untuk edisi kali ini kita memfokuskan untuk merampas kembali gelaran juara keseluruhan.
“Kalau edisi sebelum ini juga kita terlepas 12 acara kerana terdapat masalah kekurangan penyertaan tetapi kali ini kita telah menambah baik syarat penyertaan iaitu dua negeri dengan empat atlet,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Kem Motivasi Atlet Para SUKMA Sarawak di sebuah di sini hari ini.
Pada Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, Sabah muncul juara dengan merangkul 54 pingat emas, 36 perak dan 35 gangsa sekali gus menamatkan dominasi Sarawak yang merangkul 13 gelaran juara berturut-turut sejak edisi 1994 di Johor.
Sarawak menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan apabila membawa pulang 50 emas, 47 perak dan 49 gangsa, manakala Johor berada di kedudukan ketiga.
Mengulas lanjut mengenai penambahbaikan syarat penyertaan itu, Muhammad Razi berkata, ini membolehkan acara-acara sukan yang dirancang akan dipertandingkan.
Sebanyak 10 acara yang akan dipertandingkan dalam temasya Para Sukma Sarawak 2024 iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, boling tenpin, boccia, boling padang, angkat berat, memanah dan catur. -TVS.