IPOH, 17 Sept: Seorang pengurus syarikat berputih mata apabila wang miliknya sebanyak RM420,000 lesap selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud kelmarin.
Mangsa lelaki warga tempatan berusia 33 tahun mula terjerat selepas berkenalan dengan seorang suspek wanita menerusi Facebook pada 24 Ogos lalu semasa berada di syarikatnya di Filipina.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek telah mengajak mangsa melabur dalam pelaburan atas nama MC Metal Global Trade.
Katanya, mangsa telah diberikan satu pautan untuk urusan pelaburan itu oleh suspek berkenaan.
“Bermula 7 hingga 24 September lalu, mangsa telah membuat pindahan wang berjumlah RM420,000 ke dalam empat akaun syarikat berbeza.
“Dia mengesyaki telah ditipu apabila tidak dapat memasuki pautan pelaburan tersebut sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kelmarin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, pemindahan itu telah dibuat mangsa semasa berada di Filipina, China dan Johor.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -TVS.