LIMA, 17 Sep: Pihak berkuasa Peru pada Isnin memaklumkan telah merampas kira-kira 1.3 tan sirip jerung yang diburu secara haram.
Agensi kastam Sunat dalam kenyataan di laman X berkata, sirip jerung itu ditemui di gudang sebuah syarikat eksport yang menjadi depo simpanan sebelum dihantar ke negara-negara Asia, tanpa lesen yang diperlukan.
Satu laporan yang diterbitkan dalam jurnal Science pada Januari berkata, populasi jerung global merosot meskipun usaha untuk mengekang pembunuhan besar-besaran.
Sirip ikan jerung menjadi makanan istimewa di beberapa negara Asia yang telah meletakkan makhluk pemangsa itu dalam risiko besar.
Ia juga dipercayai dimakan untuk melambatkan penuaan, meningkatkan selera makan, membantu ingatan dan merangsang keinginan seksual di beberapa negara, termasuk China dan Jepun.
Pemburuan selalunya melibatkan penangkapan jerung, mengambil sirip, dan melemparkannya kembali ke lautan sehingga mati.
Menurut Kumpulan Alam Sekitar Pew, antara 63 juta dan 273 juta jerung dibunuh setiap tahun, terutamanya untuk sirip mereka dan bahagian lain. -AFP