BUKIT MERTAJAM, 17 Sept: Seorang pendaki wanita terkorban selepas terjatuh ke dalam saluran air semasa mendaki Bukit Cherok Tok Kun di sini hari ini.
Mangsa, Oh Ai Chin, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mayatnya dijumpai pasukan penyelamat.
Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, Penolong Kanan Bomba II Mohd Azmi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.59 tengah hari sebelum pasukan bomba dikerahkan ke lokasi.
Katanya, sebaik bomba tiba, pihaknya mendapati seorang wanita yang melakukan aktiviti pendakian telah terjatuh dalam keadaan terlentang di dalam lubang saluran air sedalam kira-kira dua meter.
“Dua anggota bomba telah turun ke dalam lubang tersebut untuk mengangkat mangsa dan kita ambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dari lubang tersebut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini. – TVS